Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami pernah berkata kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, sesungguhnya saya baru sahaja meninggalkan zaman kejahilan. Sesungguhnya Allah menunjukkan saya kepada Islam. Sesungguhnya ada dalam kalangan kami orang-orang yang pergi berjumpa dengan tukang tilik nasib.”
Nabi Muhammad menjawab, “Jangan pergi berjumpa mereka (tukang tilik).” Mu’awiyah bin al-Hakam berkata, “Dalam kalangan kami, ada yang mempercayai nasib sial.” Nabi Muhammad menjawab, “Perkara sebegitu melekat di dada-dada mereka, bukan mudah bagi mereka menghilangkannya.”
Hadith ini terdapat dalam rekod Sahih Muslim dan Sunan Abu Daud.
Dalam hadith ini Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami mengkritik kelemahan dan kebodohan kaumnya sendiri.
Jawapan Nabi Muhammad menunjukkan teknik yang betul memberikan respon kepada seseorang yang mengkritik golongannya sendiri.
Ayat kritikan Mu’awiyah bin al-Hakam: “Sesungguhnya ada dalam kalangan kami orang-orang yang pergi berjumpa dengan tukang tilik nasib.”
Respon Nabi Muhammad: “Jangan pergi berjumpa mereka (tukang tilik).”
Ayat kritikan Mu’awiyah bin al-Hakam: “Dalam kalangan kami, ada yang mempercayai nasib sial.”
Respon Nabi Muhammad: “Perkara sebegitu melekat di dada-dada mereka, bukan mudah bagi mereka menghilangkannya.”
NOTA: Nabi Muhammad tidak pernah mengutuk ataupun memburuk-burukkan bangsanya sendiri.