Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’
Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.”
Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
– Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Nota: ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’ bermakna ‘Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.’
Analisis Hadith
Di dalam hadith ini, lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah dan juga perkara-perkara yang betul.
Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu:
- Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.
- Dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.
- Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.
Kebaikan yang dilakukan oleh lelaki itu:
- Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa, cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke masjid.
- Dia sempat ikut sembahyang berjemaah.
- Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.
- Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya memuji-muji Allah.
- Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.
- Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah ciptaannya sendiri.
Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”